Wednesday, December 22, 2010

Titisan Embun 2

Bab dua.
*******************************
“Betullah orang kata,
Wanita solehah itu lindungan Allah,
Tiada siapa berani mendekati mahupun menyakiti hatinya yang suci itu”
******************************
“ Aku nak dia, tapi aku Mat Romeo Universiti Malaya, dia gadis solehah yang ustazah”
*******************************
          Dia garu kepala. Masuk minggu ni dah hari keenam Insyirahnya tidak online. Setiap hari juga dia setia meng-view profil gadis itu di facebook. Mengintai perkembangan gadis solehah itu. Kepalanya masih berat. Mungkin akibat tidur lewat malam tadi. Wan memandang atas meja belajar Izzat. Ada Assignment di atas meja itu. Pasti teruna yang seorang ini pun tidur lewat kerana menyiapkan tugasan itu.
          Hari ini Prof Daud mahukan assignment itu. Seminggu sudah disiapkan. Dia sendiri tidak sedar apa jenis kategorikah tranformasi yang sedang dia lakukan tanpa dia sendiri sedar ini. Kalau dulu, assignment dia akan minta salah seorang so called, sahabat wanitanya tolong buatkan. Tapi sejak kenal Insyirah Safiyyah segalannya telah berubah.
         Tiada lagi temu janji setiap hari. Tiada lagi keluar makan atau bahasa orang sekarang, date. Dan segala jenis tabiat buruknya dah dikikis sedikit demi sedikit. Bukannya dulu dia tak belajar agama. Tapi mungkin kerana, terpengaruh arus budaya cara hidup di kota metropolitan ini. Inilah dia akibat iman tak mantap. Senang goyah. Walaupun lepasan sekolah agama. Dari tingkatan1 sampai tingkatan 5 dia di ajar hidup seperti seorang muslim. Muslim yang sebenar. Bukan hanya pada nama. Tapi bila keluar dari sekolah itu, dan melangkah ke satu tahap lebih tinggi. Tamadun hidupnya pula yang semakin mundur. Mundur!
         Hidupnya hanya enjoy. Tapi bab solat-solat itu masih dibuat ikut waktu. Cukup lima waktu solat. Dan setiap malam , tak kiralah lepas maghrib, atau isyak atau sebelum tidur, dia akan baca Quran kerana dia masih ingat pesan ustaz ustazah di sekolah, sekuarng-kurangnya sehari kena baca Sembilan ayat Quran, kalau tak hidup tak sempurna. Sebab, sehari meninggalkan Quran berpuluh-puluh hari Quran meninggalkan kita.
         Walaupun dia sering keluar merambu dan dating sana sini, dia tak pernah sentuh tangan yang haram untuknya itu. Dia masih ingat kata ketua umum, si Iqram masa bagi tazkirah lepas maghrib. Masa itu mereka dah di tingkatan lima. Beberapa bulan sahaja lagi nak menduduki SPM, “lebih elok antum semua menyentuh babi, kerana ianya boleh di samak, tidak berdosa, tapi kalau antum semua menyentuh seseorang yang bukan mahram antum semua, api neraka jawabnya” demikianlah tazkirah Iqram hari itu. Dan mulai hari itu, setiap kali ada niat bercambah di hati nak menyentuh kulit yang haram untuknya itu, pesan Iqram seolah-olah terdengar-dengar di cuping telinga.
         Tiada lagi Syuhada, Sofiya, Amalia, atau siapa-siapa sajalah. Sekarang , mereka hanya ditegur bila melibatkan pelajaran, dan hal persatuan. Kalau tidak, berselisih di depan kaunter order air sekalipun Wan buat tak Nampak aje, kalau dulu pasti wajah-wajah cantik itu disapa senyuman kerang busuknya itu. Sambil melawa gadis-gadis itu makan bersama. Alahai, Wan geleng kepala sambil tepuk dahi. Muka tak malunya aku dulu. Sehingga dia di cop mat romeo pujaan university Malaya.
          Nak kata wajahnya tampan. Wan raba wajah sendiri. Syue kata, hanya layak diberi B+ sahaja, Tapi kalau Izzat pulak ; “kalau setakat muka macam abang tebar roti canai kat kedai mamak kau ni, orang gila aje yang boleh sangkut tau,” sambil ketawa-ketawa tempoh hari. Bila semua teman-teman wanitanya bertanya ke mana hilangkah jejaka pujaan Malaya itu. Ngeee. Sendiri sebut pun rasa nak terjun bangunan aje. Izzat pulak yang terlebih tertekan apabila dia di ibaratkan sebagai kaunter pertanyaan ; Di Manakah Najwan Irfan?
          Habis budak-budak UM yang sikit punya cun itu semua gila lah ya? Wan geleng sendiri. Jangan jadi gila sebab aku! dia sengih lagi. Izzat yang lena itu di pandang sekilas. Entah subuh entah tidak si Izzat ni.
         Dia tidak mahu gadis-gadis itu lagi. Kerana di dalam hatinya sudah ada yang mengisi. Kerana di dalam hidupnya kini sudah ada yang menemani. Kerana dia sendiri tidak mengerti, siapakah sebenarnya gadis itu hingga dia jadi angau seperti ini? Bidadari kiriman Allah dari syurgakah? Sekali lagi Wan tepuk dahi. ‘kau pergi surau depan rumah pun jarang ada hati nak cakap macam itu..’ dia raup wajah. Sedar kekhilafannya dulu. Betapa hitamnya hati bila surau di depan rumah pun dipandang sebelah mata. Wan geleng kepala. Dia malu pada penciptaNya!

No comments:

Post a Comment