Thursday, December 23, 2010

Titisan Embun 5

Bab Lima
        “Kau okay ke tak ni? Kau janganlah risau, bukan kau pun yang langgar dia” Izzat mengambil tempat duduk di sebelah Wan. Gelas disuakan pada sahabatnya itu. Wan menyambut. Senyum tawar terukir di bibirnya. “Mai ada call tadi, dia kata.. Syuhada kritikal, dia mintak kau datang ke hospital..” Izzat memandang wajah Wan yang hanya termenung. “Kau dengar tak ni?”
         “Dengar. Esok. Insya-Allah kalau Allah panjangkan umur aku, kalau Allah izinkan. Aku akan melawat dia” Wan tetap tidak memandang wajah Izzat. Dia berlalu ke biliknya.
          Izzat sendiri dah tak terkata apa. Telefon bimbit yang berbunyi mohon simpati minta diangkat mungkin letih melalak lagu Basshunter yang tak tentu hala tu,. Izzat pandang dengan hujung mata, telefon bimbit di atas meja itu di capai malas.
          “Hello, Assalamualaikum?” Izzat memulakan bicara. Suara yang kedengaran sugul itu di dengar khusyuk setiap butir katanya.
          “Aku ucap takziah. Insya-Allah, mohon Allah permudahkan urusan kita. Nanti aku beritahu dia. Dia pun tengah terkejut tu. Kirim salam pada semua” Izzat mematikan talian. Dia menelan liur. Serba salah lebih tepat. Dia tidak tahu dengan ton suara bagaimanakah dia ingin mengkhabarkan berita sedih itu kepada Wan? Dengan langkah longlai, dia menuju ke bilik Wan.
           Dia tak jadi nak mengetuk pintu bilik Wan bila terdengar suara merdu itu sayu aje mengalunkan kalamullah yang indah itu. Suara Wan memang sedap. Semua orang tahu. Bila azan dan membaca Al-Quran lagi sedap. Yang mendengar boleh terpegun jadinya. Kurniaan Allah. Dikuatkan semangat sebelum tangan menyentuh pintu bilik Wan.
            “Ada apa Izzat?” Wajah Wan tampak suci dengan kopiah putih di atas kepala. Izzat tarik nafas panjang. “Tadi Mai telefon, Syuhada, dia..” dia tak sampai hati nak teruskan kata-kata.

                  *******************************************************************      
            “Awak ni Najwan Irfan?” lelaki berkumis nipis itu bertanya. Wan yang hanya memakai t-shirt dan jeans mengangguk. “Saya abang kepada Syuhada” lelaki itu memperkenalkan diri. Wan memandang lelaki itu yang Nampak macam jenis pak ustad - pak ustad aje. Dia pandang pula diri sendiri. Alahai, jauhnya beza..
            “Mai ada cerita pada saya pasal awak dan apa yang adik saya dah buat. Saya minta maaf bagi pihak adik saya” lelaki tu hanya tunduk. Wan telan liur. Kerongkong terasa kesat aje semacam. “Saya minta maaf sangat sangat” Wajah sugul itu Wan tenung lama sebelum seorang gadis keluar dan tergesa-gesa berlari kea rah mereka berdua. “Bang Chik, Kak Syud.. dia nazak! Ummi suruh panggil abang” berlari abang Syuhada dan hilang sebalik pintu bilik wad itu. Wan masih di situ. Segalanya terasa bagai mimpi. Bergaduh dengan Syuhada, Syuhada kemalangan dan sekarang gadis itu nazak. Walaupun bukanlah dia yang melanggar gadis itu. Hatinya di terpa rasa bersalah yang tidak berbelah bahagi. Andai benar Allah mahu mengambil nyawa Syuhada, Wan pasti menyesal! Kerana di saat-saat akhir Syuhada, Wan sakiti hatinya.
          “Izzat , dia nazak..” Wan memandang Izzat yang hanya memandang dia. Sedang dia dan Izzat berbual kosong tentang masa silam mereka. Abang kepada Syuhada keluar menghampiri Wan dan Izzat. “Wan, kalau tak keberatan. Masuklah. Ummi saya teringin nak jumpa orang yang anak dia terlampau sayang dan yang sanggup dianiaya ni. Masuklah Wan” Wan serba salah. Nak masuk ke? Tapi macam tak proper pulakk.
          “Tak apalah bang. Saya ni..” Belum sempat Wan habiskan kata-katanya abang itu berkata lagi. “Saya faham. Perasaan Wan. Tapi untuk kali ni aje Wan. Jangan fikir kan apa yang dah Syuhada buat pada awak dan tolong fikirkan perasaan ummi saya. Kasihani dia..” lembut hati Wan mendengar kata-kata abang Syuhada. Mulia sungguh lelaki ini. Kata-kata lelaki itu buat Wan rasa rindu. Rindu pada mamanya di rumah. Dia ketap bibir. Perlahan-lahan menganggukkan kepalanya sebelum mengikut abang Syuhada.
           “Assalamualaikum” ucap Wan sopan. Dia masih ingat adab berziarah yang di belajar di sekolah dulu. Semua mata memandang ke arahnya. Wan diam. Tak tahu nak kata apa lagi. Serentak itu dada Syuhada turun naik bernafas kencang. Semua panic. Ayah Syuhada membisikan kalimah syahadah pada telinga anaknya.
            “Anak tolong maafkan anak mak cik boleh? Redhakan segala perbuatannya selama ini. Kasihankan dia ya nak, mak cik tak sanggup tengok dia terseksa begini. Ampunkan dia. Maafkan dia. Semoga jalan dia menemui Allah lancar dengan kemaafan dari anak. Mak cik mohon. Tolong ya nak..” lepas itu mak syuhada pengsan tak sedarkan diri. Dia tersentuh. Wajah Syuhada yang pucat dan bertampal-tampal itu di tenung lama. Dia redha. Dia ampunkan dosa Syuhada menfitnahnya. Sahabat, semoga kau tenang di sana.
              Beberapa detik selepas itu, doctor datang dan mengesahkan yang Syuhada sudah tiada. Allah telah mengambilnya pergi dari alam yang fana ini. Wan hanya tunduk memandang lantai. ya, dia menyesal! Abang Syuhada tadi menepuk bahu Wan. “Terima kasih Wan. Terima kasih kerana memaafkan adik saya,” ujar lelaki itu dengan air mata yang bertakung di kelopak mata. Wan hanya angguk lesu. Wan perhati satu demi satu wajah sedih di situ. Sehinggalah sampai ke wajah Syuhada yang dah tak bernyawa itu. Lama dia merenung. Maafkan aku.
              “Wan, ini. Syuhada suruh bagi kat kau. Masa dia kena langgar tu, aku dengan dia nak ke bus stop. Dia nak balik kampung tenangkan fikiran. Aku Cuma nak jalankan amanah orang. Ni, dia yang suruh bagi. Kau balik rumah dululah baru baca,” Wan menyambut surat itu dengan senyum tawar sedangkan Mai sikit pun tak memandang wajahnya. Aduhaai, aku kah yang berdosa?
              “Bang, maaf bertanya. Kebumi bila?” sempat Wan memaut lengan abang Syuhada yang lalu di sebelahnya.
              “Kenapa? Wan nak datang ke? Insya-Allah sebelum zohor esok” abang Syuhada hanya senyum sebelum meminta diri. Wan hanya angguk kepala.
              Hari dah gelap. Kereta yang dipandu Izzat meluncur laju dijalan raya. Senyap sunyi. Wan pula mengelamun dari tadi. Dia melihat sekilas ke arah surat yang kemas di genggaman.

                    **************************************************************
              Usai solat Isyak, dia bersandar di kepala katil. Tenang membuka surat yang berlipat itu. Dia tarik nafas panjang. Puas dia meyakinkan diri sendiri.

Assalamualaikum Najwan Irfan ,
Pertama sekali, Syue nak minta maaf banyak-banyak. Syue tahu hati Wan sakit. Sampai muka Syue pun Wan tak nak pandang sebelum Wan pergi tadi. Syue sedar yang Wan dah benci Syue. Wan benci tengok muka seorang penfitnah macam Syue. Syue tahu dosa Syue pada Wan terlalu besar Wan.. maafkan Syue.
Wan,
Dulu, masa sekolah dulu, Syue rasa Wan dah lupa tapi tak apa. Syue Cuma nak bercerita tak ada niat lain. Ada orang bagi coklat dekat Wan setiap kali hari sahabat di sekolah setiap tahun. Maaf Wan kalau Wan tak suka. Itu Syue yang bagi. Tapi Syue tak bagi tahu nama. Syue takut Wan tak terima. Mai selalu kata Syue bodoh kerana suka pada otai sekolah macam Wan. Katanya Wan tak padan dengan Syue. Syue budak baik , wan pula budak jahat. Kontra sangat katanya. Sampai sekarang Mai, tak suka Wan. Nak tahu kenapa? Kerana katanya Wan yang buat Syue jadi macam ni. Tapi Syue tak setuju. Syue jadi macam ni sebab Syue jauh dari Allah. Kan Wan?
Wan,
Wan ingat lagi masa Ustaz tangkap Wan tengah pancitkan tayar kereta dia, Wan kata yang Wan sumpah akan benci tujuh keturunan orang yang bagi tahu maklumat pada Ustaz. Wan, bencikah Wan andai Syue kata Syuelah yang membuka cerita pada Ustaz? Masa tu Syue bukan kata Syue saja nak kenakan Wan tapi Syue tak sanggup nak tengok Wan buat jahat lagi. Syue tak sanggup nak tengok Wan kena rotan dekat perhimpunan lagi. Iyalah, sekurang-kurangnya Wan kena denda cabut rumput aje kan? Tak kena rotan kan? Sekali lagi, maafkan Syue ya Wan.
Wan,
Wan ingat lagi, masa sekolah dulu, kalau tak silap Syue masa tu kita di tingkatan 4. Masa tu kita dah nak final exam. Tapi Wan merungut kata belum study..tak sempat study.. bla..bla..bla.. dan sebab Wan kata Wan tak suka subjek PQS. Syue tahu Wan bukan tak suka subjeknya tapi cikgunya kan? Wan nak tahu siapa yang letak nota ringkas warna-warni bawah meja Wan dua hari sebelum periksa PQS ? Syue yang buatkan untuk Wan. Sebab Syue teringin sangat nak dengar Wan kena puji dengan ustaz walaupun sekali ataupun cukuplah Wan tak diherdik lagi. Syue suka dengar Wan dapat B+ tapi tak sangka pulak Ustaz tuduh Wan meniru pula. Sungguh Wan, tak terlintas pun di kepala Syue ustaz nak tuduh Wan begitu. Ya, salah Syue. Maafkan Syue.
Wan,
Dan yang paling akhir sekali, Syue mohon ampun di atas fitnah Syue itu. Betul kata Wan. Syue terlalu ikutkan nafsu. Syue lupa api neraka. Syue tak ingat keluarga. Betullah kata Wan, patutnya abang Syue bunuh aje Syue ni kan?  Buat malu keluarga. Syue tak mengandung pun. Wan tak salah.
Wan,
Syue nak balik kampung. Syue nak cari diri Syue yang dah hilang ke mana dulu. Syue nak tenangkan diri. Syue nak kembali kepada Allah. Jangan risau Wan, lepas ni Wan takkan tengok Syue lagi dah. Syue nak pergi jauh. Syue akan pergi jauh dari Wan dan dari segalanya. Doakan Syue ya Wan kalau Wan sudi. Semoga Allah permudahkan urusan hambanya yang terlalu berdosa ni. Maafkan Syue Wan dari hujung rambut sampai hujung kaki. Wan, maaf andai permintaan terakhir Syue ni melampau sangat. Andai apa- apa terjadi pada Syue, Wan jangan marah keluarga Syue ya Wan? Mereka tak bersalah. Andai Syue pergi dari dunia ni, Wan tolong jangan suarakan kebencian Wan pada mereka. Syue minta tolong sangat. Syue tahu Syue yang salah.
Sekian saja dari Syue. Maafkan Syue dunia akhirat ya Wan?
Assalamualaikum
Fitrah Syuhada binti Mohd Zaidi.

          Wan kembali menglipat surat itu kembali. Dia kembali bersila di atas sejadah. Yaasin di atas meja belajar di tarik perlahan. Dengan tenang lunak dia memulakan Al- Fatihah. Buat Syuhada , kau sahabat terbaik!

No comments:

Post a Comment